yasleh rita ayu, yasleh khaliff amri, yasleh hani wati

Introduction

My photo
Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, dad has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 9 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.
ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970

Saturday, May 30, 2009

Selsema Badutlah Pulak!

Selsema babi pulak dah!
Dulu wabak babi Japanese encephalitis,
meletup-letup bangkai babi,
di bukit pelanduk.
Lepas tu selsema burung pulak
habis semua ayam itik kena bakar

Sebelum selsema babi menular
di mexico dan amerika,
di Malaysia bertahun kita
mengidap sakit mengantuk
jangkitan dari nyamuk luncai tiga beranak.

Untunglah nyamuk luncai
kini dalam ketidoran
mereka yang abadi.
Lantas akhirnya ketermengantukan itu
pantas dirayakan dengan permainan sarkas demokrasi
di bawah pokok di Perak yang
hingga kini belum juga berhenti
lelucon badut-badutnya,
aduhai!
Apapun juga kita masih jua ada
sedikit nasib baik,
di Penanti,
kepimpinan badut telah membuktikan
bahawa
mereka TIDAK tamak kuasa!

Manik Urai,
akan bagaimanakah
agaknya kau disunting
tanpa tamak
tanpa haloba
di gelanggang sarkas badut
yang kian tambah kelakar
dan terlondeh celananya.

Bermulalah
wabak selsema badut pulak!


yassinsalleh
1920 hrs, mei 28, 09
manik urai yang menanti
tanpa tamak tanpa haloba
tanpa sarkas tanpa badut
melondeh celana.

Friday, May 29, 2009

Getik Aku!

BN tak mahu bertanding di
Penanti
di atas sebab
tak mau membazirkan wang
rakyat
dan kerana
pimpinan Negara
TIDAK tamak kuasa.
Dan
kerajaan negeri Perak
terjongkang-jongket
dalam senda hukum
sorong papan tarik papan
antara sah dan tak sah
yang tiba-tiba jadi sah
yang kemudiannya
ditiba-tibakan pulak
jadi tak sah yang sah,
aduhai,
bodoh benarlah kami ini ya!
wahai,
cerdik benarlah engkau tu ya!

Pordah!
Getik aku!
Dalam bahasa PPSMI,
“Whom are you trying
to bullshit man?”
iya, siapakah
yang engkau cuba
nak taik lembu jantankan?


yassinsalleh
0201 hrs mei 28, 2009
menunggu man u
mengalahkan Barcelona
dan nak tenguk
macam mana refri yang
pakai cawat besi berlari

Sunday, May 24, 2009

Khabarkan Jua Kepadanya!

Di awal Januari
1512,
panglima-
kapitan Raja
Portugis,
Alfonso De
Albuquerque
telah
mengarahkan
dutanya, Antonio
Miranda De
Azavedo,
“Engkau
khabarkan
kepada Raja
Siam,
bahawa aku
pasti sekali,
dia sedang amat
gumbira
di atas
kehancuran
Si Raja Melaka
yang telah
sekian lama
diperanginya.

Khabarkan jua padanya,
bahawa,
Baginda Raja
Portugis,
amatlah terlalu
gumbiranya
kapal dan orang
Siam
akan datang berdagang ke
Melaka.
Dan khabarkanlah
juga padanya,
bahawa
itulah sebab
utama,
musababnya,
aku menakluk
Melaka.

Dan khabarkan
jua lagi,
sekiranyalah
teringin dia
akan bantuan
soldadu
dan armada kita
segalanya,
makanya aku,
selaku panglima-
kapitan,
Baginda Raja Portugis. akan
menyempurnakan laksana
segala hajatnya
yang sedemikian
itu hasratnya.”

Demikianlah,
yang tercatat di
dalam
BRAS DE
ALBUQUERQUE,
COIMBRA, 1923,
Bahagian III,
Bab XXXVI,
Sedemikianlah di
dalam buku
thailand
- a traveller’s
companion aku
terbaca
betapa
serakahnya
keangkuhan
penakluk sejarah
yang megah,
kerana,
mereka punyai
bijaksana,
kebal dan gagah.

Aduhai Melaka
demikianlah kau
dulu
bebal dan kalah
dan terjajah
dan 500 tahun
berlalu telah
apalah pula lagi
aib yang kini kau
tatang
selaku kandang
pulau selatan
untuk berzaman
lagi?


yassinsalleh
0423 hrs, mei 20, 2009
Suite 1103,
Grand Hyatt
Erawan Bangkok
Ratchadamri Road,
Kota Bangkok,
Thailand

Happy Birthday To Me!

Di bumi Thai
cakra dharma
jauh dari anak-anakku
tersayang
dan isteriku
tercinta
aku membuka
pintu waktu dan
melangkah ke
hari
ulang tahun
kelahiranku
yang bagaikan
separuh tertawa
mengatakan
“Tua dah engkau ya!”

Duhai,
seri intan
permata hati
wahai
seri nilam
permata budi
bersamamu
aku mau
membuka
banyak lagi pintu
waktu
sebegini
demi kelangsaian
perjuangan yang
tertangguh.

Mummy, Mama,
Abang, Adik dan
Along,
di langit kota
Bangkok ini
daddy
menghitung
senandung
bintang-bintang
mengulit simfoni
duka
helang segara
kakinya luka
patahpun
sayapnya
rekahpun
paruhnya
namun terbang
tetap jua ia
terbang
tanpa walang
sayang disayang
serunai malam.

Duhai kota
Bangkok
Happy Birthday
To Me!


yassinsalleh
2104 hrs mei 19, 2009
kamar 1103
Grand Hyatt
Erawan,
Bangkok,
Thailand

Sezaman Segemilang Ayutthaya

Dari jendela
kamar hotel
aku terdiri sepi
memerhati
degup jantung
kota Bangkok
mengengsutkan
selirat
kesesakan
kenderaan
tunda bertunda
merentas
sempadan hari,
dan
senja inipun
melabuhkan
gerimis
dan asap setanggi
dari biara
Keramat Erawan
bagaikan
memberi tahu
sebentar lagi
kenderaan diraja akan lalu.

Tiba-tiba
sahut
bersahutan
bunyi wasit polis
memberhentikan
pejalan kaki
yang bergerak di
atas jembatan
langit
dan di bawahnya
berlalulah
kenderaan diraja
membawa baginda
beriring
lembayung
langit kota
Bangkok
dan rakyat
di atas jembatan
langit
tidak ketulahan.

Aduhai
tanah
semenanjungku
terasa amat
rindunya aku
pada kedaulatan
semalammu
sezaman
segemilang
Ayutthaya

Pulang nanti
terasa ingin aku
mengunjungi Tun
Gabnor da
Melaka.


yassinsalleh
2213 hrs mei 18,09
Suite 1103,
Grand Hyatt
Erawan Bangkok
Ratchadamri Road,
Bangkok,
Thailand

Monday, May 18, 2009

Selamat Sejahtera

Selamat
bernyanyian
pada serindit
di pucuk meranti
Selamat
berlompatan
pada belalang
di rumpun padi
Selamat bermain
pada ikan
di sungai
Selamat berkembang
pada bunga
di taman.

Selamatlah alam
tanpa petaka
Selamatlah kekasih
tanpa nestapa
Selamatlah sahabat
tanpa sengsara
Selamatlah pemimpin
tanpa dusta
Selamatlah negara
tanpa khianat
penanggung
jawabnya.

Selamat
sejahtera
Malaysia tercinta
janganlah
dagang lalu
dipeluk dicumbu,
adik abang
dibiarkan
terdampar di luar
kelambu
takut tertikam
keris belida ke
jejak kaki,
bermusim kelak
padi
tak menjadi
bertahun pulak
ikan takkan
bermain.

Dan kau dan aku
apalah yang kita
cari, selain
semalam kita
yang hilang,
kerana,
esuk entah di
mana bahara
terjanji
menimbang
mimpi
menghitung budi
antara
kerakusan
dendam
berbungkal
dan keramatnya
kemaafan yang
kekal.

Selamat
sejahtera, wak!


yassinsalleh
0917 hrs mei 16, 09
kelopak
cempaka
sudah mula
berguguran
dan...

Yang Kembali Membuka

Dan kaupun jua
sudah entah ke mana!

Demikian
dia tiba-tiba
datang
berkongsi mimpi
dan
sedemikianlah
pula
dia tiba-tiba
hilang
tanpa pesan,
bagaikan
fatamorgana
yang tidak
pernah mungkir
untuk hilang
sesegera pelangi
terhenti hujan tengahari
Demikianlah
ulangan yang
entahkan
ke berapa
kalinya
kecapi nestapa
mendodoi sendu
simfoni duka
memujuk rindu
airmata
membasuh pilu.

Aduhai,
kembalikanlah
semalamku yang
kau pinjam dulu.


yassinsalleh
0305 hrs mei 15, 09
di hamparan
embun
kering aku
membalut
luka di
keningku yang
kembali
membuka

Bangau Oh Bangau

Bangau oh bangau
kenapa engkau kurus
macam mana aku tak kurus
ikan tak bermain.

Ikan oh ikan
kenapa tak bermain
macam mana nak bermain
air sungai kering.

Sungai oh sungai
kenapa engkau kering
macam mana aku tak kering
kemarau memanjang.

Kemarau oh kemarau
kenapa engkau panjang
macam mana aku tak panjang
hujan tak mau turun.

Hujan oh hujan
kenapa tak mau turun
macam mana aku nak turun
musim dah berubah.

Musim oh musim
Kenapa kau berubah
Macam mana tak berubah
Pokok tak berbuah.

Pokok oh pokok
Kenapa tak berbuah
Macam mana nak berbuah
Bunga tak mau kembang.

Bunga oh bunga
Kenapa tak mahu kembang
Macam mana aku nak kembang
tanah gundah gelana.

Tanah oh tanah
kenapa gundah gelana
macam mana aku tak gelana
negeri dah huru hara.

Negeri oh negeri
kenapa kau huru hara
macam mana tak huru hara
orang berebut kuasa.

Orang oh orang
Kenapa berebut kuasa
Macam mana tak berebut
Big Boss aku suruh.

Big Boss oh Big Boss
Kenapa suruh rebut
Macam mana tak suruh rebut
Sebab aku suka!


yassinsalleh
2228 hrs mei 14, 09
Di tebing
sungai perak
airnya tak
jernih lagi
di langitnya
tiada bintang
menari.

Selamat Hari Jadi Adik

Pada ulangtahun
kelahiranmu ini,
maafkanlah
daddy tidak
dapat bersama
adik tiup lilin
potong cake.
terimalah hadiah
hari jadi untuk
adik dari daddy:

-i-
Adab datang
memberi salam
hemah menanti
salam
bersambut,
tepak dihulur
pembawa
maksud,
sirih dikapur air
diteguk, hemah
berbahasa sopan
berkata.

Adat meminta
bermohon
muafakat,
tertib berpakat
mencari
bulatnya
berjunjung naik
berjinjang turun,
datang pandang
depan
pergi nampak
belakang.

Itulah landas
tamadun
turunan nenek
moyang,
warisan pusaka zaman
berzaman,
nilam geliga
baiduri cendikia
khazanah megah
bangsa berdarjat
berpualam
berbahara
bertahta
berdaulat
tersemai di hati
terukir di kalbu
terpahat di jiwa
terhampar di
sanubari
gemilangnya
Melayu
terbilang
bangsaku
bertuah bumiku
petanya Iman
jalannya Syariah
pelitanya Adat
obornya kitabALLAH.

-ii-
Hari ini warisan
pusaka, dan
segalanya yang
keramat,
atas nama
kuasa,
seghairahnya
sedang
dihumban
ke dalam unggun
besar
serakus-
rakusnya.
Dan
layulah engkau
Melayu
kerana nama
bangsamu itu
sendiri membawa
erti
tukang layu
bertaraf tukang
sapu,
tukang merapu,
tukang ampu
tukang tipu yang
tak tau malu


yassinsalleh
1413 hrs mei 13, 09
di bawah
pohon
pokok si balai-
balai
Ipoh, Perak DR
aku
menyambut
Hari Jadi Puteri
kesayanganku
Yasleh Hani Wati.

Wednesday, May 13, 2009

Guest Poets

Apelah Ropenya Perak Idak Berdoroyan, Yop Oi!

Mase intan kecil
dulu, aruah opah
kate
bila dia dah
takde,
keturunannye,
janganlah
berebut
tanah pesake.
Nanti merajuk
semangat tanah
Akan terbantut
subor tumbuhan-
tumbuhan
Pohon-pohon
terlupekan
musim
Pokok-pokok
takmau
berbunge.
Aduhai Opah,
maafakanlan
Intan, mase opah
kabor tu Intan
tak percaye,

Udah sebulan
musim doroyan
patutnya
bermule,
sebatang pun
idak lagi
berbunge,
di lata kinjang
takde,
di tualang sekah
tak kembang,
di malim nawar
pun
tak nampak
rope.
Alahai opah,
Apelah ropenya
bile perak idak
berdoroyan!
Semusim sajeke
kami takkan
merase gulei
tempoyak?
Aduhai orang-orang besor
negri
tolonglah kami
orang-orang kampung
janganlah
doroyan kami
berpanjangan
tak berbunge,
berontilah
menghalal_haram
kan
politik negri
pilihan kami
menurut
nafsu_nafsi
kembalikan
hak kami yang
ternafi
kalau idak,
takut nanti
tujuh musim
doroyan tak
menjadi,
tujuh musim ikan
tak bermain,
tujuh keturunan
kemarau
memanjang
tujuh zaman
bangsaku hilang
keturunan.
Dan
Pohon-pohon
doroyan
akan ditebang
untuk dibuat terompah.

Opah Robeah
tersayang, Negri
kite, Perak
tercinte,doh
porak perande!

Dr. Seri Intan Mokhtar
2316 hrs, mei 11, 09
Lata Kinjang,
Chenderiang
Tapah,
Perak DR


Menjadi Remok Kaca Terburai

Yang Opah
wasiat tak pun
tersurat,
keturunan
terima hanya
layangan
tersirat,
rebutan pusaka
bukan cuma
sekadar tanah,
hak temurun
semuanya dah
punah ranah,
pemegang
wasiat tak ikut
Syariah,
pewaris pusaka
bukannya
keturunan,
suku pemilih tak
kenal yang
bersyarat,
sakat pembahagi
taktau yang
mana pedoman.

Nafsu pihak satu
nak beri
tukang
terompah dulu,
kemudiannya
yang minum todi,
nafsi berdepan
nak dulukan todi
kemudiannya
terompah.

Opah dulu
suku-sakat
sekeliling
Upah kini
didahulu
memenuhi kocek
lembaran cek,
jahil mengenali
mana dahulu
siapa kemudian,
seput robek
rohek.
Takla..
Cindia tu
semuanya
ceti atau tokpek.
Dahla..
Nafsu Nafsi
sendiri
bor la
mata hati gobek,
Kembali semula
kita kapada usul-asal,
ambil pusaka
mata buta,
ikut nafsu otak
tersasa.

Ikhthikad nafsi
Hak menjadi
remok kaca
terburai,
kalau la masih
ada
Opah dan Wak
Yah
apalah mereka
akan kata?
bagi saya
mereka
diharapkan
mendengar pula
apa yang saya
sedia...


Helang Segara
0345hrs mei 12, 09
Merentas langit
mebelah awan,
menghitung bintang-bintang
berguguran.


Tebel Bebenor Ke Kulit Muke tu!

Buat pulak lagi
dah! Macam main
sorok-sorok je.
Pagi MB sah
masuk ofis,
tengahari MB
taksah pula
dapat merayu
tangguh hukum.
Nak masuk pulak
lagi die!
Takde rase malu
ke?
Tebel bebenor
ke kulit muke tu!
Ingatnye
perintah negeri ni
macam main
pondok-pondok
ke?
Ate ingatnye
bangang
bebenor ke kami
rakyat jelate
negeri Perak ni?

Getiknyelah
teman yop oi

Ate pakat
memanjanglah
doroyan tak
berbunge
ayor late
idakkan lagi
terjun mencuroh,
bangau akan
kehilangan
kerbau
dan belalang
idakkan lagi
berlompatan
di daun keladi,
merobah juge
idakkan singgoh
makan lade
meroh
dan malamnye
cengkerik
idakkan l
bernyanyian
menyambut
bulan
keresahan,
anginpun hilang
arah,
embun gugor
kering
rumput rampai
idakkan basah,
bintang-bintang
idak menari di lantai awan
dan mimpi idak
datang menyape
tidor perawan,
Makenye,
sekohlah dahan rindu
dan
rebohlah pohon waktu
Ate dek bahanenye
negeri kite orang
buat jadi serkeh
orang-orang
besor semuenye
pakai topen
badut
hidung bebelang
perutnye gendut
kepale isinye
sabut

Ate
ingatnye
tongong
bebenor kite ni
ye yop!


Megat Alang Perkasa
Pasir Salak
12 Mei, 2009

Solamat Hari Ibu, Omak!

Sompono Hari Ibu,
hari ini
den bawak omak den
ko pot deksen
nenguk air
bokojar.

Maso den kocik-kocik
orang-orang
pokan somban
gomar bonar
monggiat
”kau poi pot
deksen
nengok air
bokojar yo jang!”

Yolah capolah
den,
niang uwan den
marin
orang Koru
Morobau
Moranting,
Tu Kikir.
morantau pulak
ko Polongai
niang atuk den
pum tanah di
Manchis
tumpahlah darah
kolahiran den
di Ponson,
longang dah
kampong den ni
sodo eh dah
pindah ko Sophie.

Mulo ee pindah
dulu tu
korah dek orang
putih
Porentah
Bokorung
Emojensi
duduk dalam
pagar kawat
boduri
makan nasi
kawah
pakai kat
ngambik ee
sekso boto idup
buek dek orang
putih
Keminis pulak tu
goma bona bakar bas
sekso boto idup
maso tu.

Tompi, sekso-
sekso idup maso tu
orang putih buek
Undang-Undang
Emojensi
nak melawan
Keminis

Hari ni pulak
Orang Bosar kito
kojo ee lain
takdo
mombolit
undang-undang
lah pulak
yang bulih kato
ee tak bulih
yang tak bulih
dibulih ee pulak.

Ontah apo nak
jadilah bangso kito ni
dulu musoh kito keminis
ni sumo ee
dah jadi toke koporat,
jadi montori pun ado,
yang jadi
montori kek
montori pun ado

ayo
tak somonggah
boto
sodo ee koparat!

Dah tuo rento
den ni
Pot Deksen
bokojar yo air ee
macam maso den
kocik-kocik
tompi maso tu
kito kona capo
musoh kito
ni keminis dah takdo
tompi wajib
mustahil
dah borenti
pulak dio
bokojar!

dari kocik sampai
bosar sampailah
ko tuo
air pot deksen
totap yo bokojar
tompi bangso
den
botambah nak
moda.

Selamat Hari ibu,
omak


yassinsalleh
0557 hrs mei 10, 09.
Menjunjung
Kasih Ibu
-omak den!-
Avillion Admiral Cove,
Port Dikson, N9

Saturday, May 9, 2009

Turut Berorgy Sama

Petang tadi
mereka tangkap
lagi macam Chief
Gangster saja
Mat Sabu
diserbu.

Ada kawan sms
aku
mengingatkan
supaya aku
tidak menulis
sajak tentang
esuk
sidang
pohon si balai-
balai
yang jangan
cuba-cuba
dipertikai

Aduhai,
Malam kian jua
memanjangkan
sepi.
Sendirian
membelai rindu
mengusap pilu.
Kalaulah kita,
kau dan aku,
dapat sama
meniti pelangi
kita seberangi
gelita malam ini
membujuk
bintang-bintang
menyaksikan
bagaimana
dua insan
nestapa
saling membalut
luka
penuh syahdu
melepas rindu
sepuas mahu
dalam dakapan
embun yang
mendinginkan
keringat
sekujur tubuh
kita
tak berbenang
seurat.

pun hanya untuk
seketika yang
amat sementara
kita sebenarnya
menyekat pilu
mengubat rindu
antara kita
yang saling perlu
memerlukan
kemanjaan
belaian
keganasan
dahaga
kenikmatan
terpuncak
dua tubuh yang
jadi satu



yassinsalleh
0051 hrs mei 7, 09
Ipoh Perak.
esuk sarkas
memainkan
digitalgame baru:
Perak Porak Peranda.
mari kita
rayakan
pesta
persendaan
maruah jelata
melata
itu dengan turut
berorgy sama

Sehebat Laungan Katak Memanggil Hujan

Dalam pada
saudagar mimpi itu
terkial ke hulu
terenang ke hilir
mencari pawang
penurun nombor
bersahutan
katak memanggil
hujan
diapun
kebasahan
dicurah hujan
gugur
bagaikan runtuh
langit
menghumban
awan
tiadalah dia
hajatnya
kesampaian
dalam demikian
ia menggigil
menahan
kesejukan
tiba-tiba
bagaikan
penyair sedang
bercinta
ilham tiba bergeliga.

“Akan ku kumpul
semua katak-katak
yang ada
sebanyak-
banyaknya.
Masukkan
kontena.
Naikkan ke atas
Kapal. Ekspotkan
ke negara-
negara arab
untuk memanggil
hujan
dan padang pasir
yang kontang gersang akan
berair
menjadi ladang
subur!
Aku akan jadi
kaya raya!
Tapi, aduh...”

Sampai di situ dia
tiba-tiba
tak lagi berkata-
kata dia
lalu dia
membilang-
bilang jarinya
di dalam hati
dengan
kegusaran
terselerak di
wajah.

Dalam hati
Kebimbangannya
kian hari kian
menebal
kegelisahan
kian minggu kian
menyiksa
kelemasan.

“Nak ekspot
katak ni kena
dapat AP,
Kena buat kertas
Kerja. Sampai kat
depa
habislah idea dan
formula
kekatakkanku
ini,
sebagaimana
lazimnya
akan dicuri
pegawai-
pegawai menteri.
dan aku akan
menggigit jari
dan menjadi
sasau
mengukur jalan
tak berhujung.”

Kenapakah
kuasanya politik
amat
menakutkan
para pemegang
harta intelek
sehebat laungan
katak memanggil
hujan ini?



yassinsalleh
1724 hrs mei 5, 09
Idea bergeliga
yang
amat berharga
yang tak
dapat
dijadikan
harga.
what a
wonderful
world.

Tuesday, May 5, 2009

Nikmatnya Menganjing

Menanam pokok
hiasan bukan di
sini seharusnya.
Tidak ada tanah
di apartment
tinggi ini tapi bila
perasaan
dilamun cinta
segalanya jadi
tidak
bermasaalah.
Lalu ku tanam
pokok bunga itu
di dalam air di
dalam kaca tinggi
di udara.
Senanglah nanti
kuntum ranum
yang mekar
mengutip angin
pengirim rindu.
Segeralah
berbunga wahai
pohon-pohon
balkoni
apartment tinggi,
temanilah aku,
menghitung
bilangan teman-teman
yang sudah tiba-tiba hilang,
bagaikan polong
mencari tuan.



yassinsalleh
1322 hrs mei 5, 09
sedang tertanya-tanya
kat mana nak
menurun nombor toto
nak cari modal terbitkan
antoloji sajak
Nikmatnya Menganjing

Sedanglah Khusyuk Ia

Rumah besar ini
menawarkan berahi
bersama tongkat ali
dan viagra.

Gedung
besarnya
menyediakan
peti besi
bersama
pengawal
sekuriti
gurkha lengkap
bertajam kukri.

Kapal besarnya
menyediakan
ruang luas
untuk ribuan
keberatan kontena
kalis taufan,
kalis tsunami,
kalis segala.

Pangkat
besarnya
memberikan
kuasa tak
terbatas
untuk keadilan
dan
ketidakadilan
untuk kebaikan
dan
ketidakbaikan
lengkap
sempurna
dengan peluang
yang juga amat
besar
untuk memperlihatkan
kebangangan diri
sonder budi
dengan
menganggap
bahawa yang
jelata dan melata
adalah tonggong
dan tolol semata.

Dan
di atas mimbar
biara tinggi
di perut gua
rumah besar itu
kini
sedang mandi
bungakah dia
atau
susu tujuh
belanga itu
untuk
dibuat dadih
sarapanyakah
atau
sedanglah
khusyuk ia
mendengar
bacaan kitab
mahabaratha?


yassinsalleh
2025 hrs mei 4, 09
menanam
bunga di dalam air
mengutip angin
di padang rindu
menghitung
bilangan teman-teman
yang sudah tiba-tiba
hilang.

Saturday, May 2, 2009

Kian Tak Terkawal Biangnya

Pun berkali-kali
sudah
bagaikan
bertukar enjin
kereta
ia
menunda dan
menunda
terlabuhnya tirai
penamat takdir
dia masih jua
terus mahu
merasuk
bagaikan pocong
kehilangan
kapan
ke syurga tak
dapat
ke neraka tak
diterima.

Dalam
kepawangannya
hilang magis
upayanya
memaksa langit
menarikan
bintang-bintang
tidak lagi
menjadi
lalu untuk
membujuk
pilunya
berpautlah ia pada dahan yang
sekah
pohon
kesemantaraan
senda
fatamorgana.
yang tidak
pernah engkar
untuk mungkir
sepasti-pastinya.

Dalam demikian
ia terlontar
ke jeram ikhtibar
masih jua ia tak
mahu percaya
sudah tiada lagi
ia terdaya
menyekat
robohnya puncak
menara
masih jua ia
mahu membina jembatan
yang entah ke
mana nak
disambungkan.

Aduhai,
Ingin saja aku
kirimkan
kepadanya
secangkir duri
kaktus
agar reda
berahinya
yang kian tua
kian tak
terkawal
biangnya.


yassinsalleh
2238 hrs mei 1, 09
Lata Kinjang
Chenderiang,
Tapah Perak.

Jangan Tinggal Daku

setelah sekian
lama
dia mempertinggi
tempat
jatuhnya.
maka,
terdirilah dia kini
di puncak siksa
yang enggan
dirunding.

Di hadapan
ternganga gaung
tak berdasar
di belakang
kian berkerumun
barisan demi
barisan demi
barisan
semut-semut
merah, hitam dan
jingga
mengarak
lentera sarat
amarah
merebahkan
mimpi meroboh
lestari.

Kian tambah
gagah semut-semut
merah, hitam,
jingga dan hijau
menongkah
nestapa
berlarian
saf demi saf
demi saf
semut-semut
perkasa
menggenta
gempita
genderang
kebencian
yang tak
terbenamkan
lagi.

di setiap langkah
pelariannya
kesan tapak
injakan kakinya
bergelimpangan
bangkai- bangkai
sumpah
dan janji-jani
syurga
yang kian
mengelembung
busuk
bagaikan
khinzir korban JE.

Kian menghampir
jua
armada semut-semut
Merah, Hitam,
Jingga, Hijau dan
Kuning
yang tidak lagi
kelabu
terpilin satu
dalm gemerlap
sinar warna
pelangi;
badannya naga
sayapnya
geruda.

Aduhai FRU,
Jangan tinggal daku!


yassinsalleh
0942 hrs mei 1, 09
Selamat Hari Jadi
seri intan!
lata kinjang,
chenderiang,
perak

Friday, May 1, 2009

Kita Boleh Tidur Lena

Malam tadi aku
tidor nyenyak,
lena sangat,
sikit tak mimpi
ngigau
pun tidak.

Tidor ni
masaalah betul
Kadang-kadang
susah sangat
nak lena
lebih-lebih lagi
kalau hati geram
tenguk remaja
masa kini
tak beradab tak
tahu berhemah
tak reti nak
hormat
orang tua-tua.
Mak Bapak dia
orang yang
kurang ajar
anak,
aku pula yang
jadi mangsa,
tak boleh nak
tidor.
Apalah nak jadi
anak bangsaku
Melayu
Panjang bebenor
sub-plotnya
weh!
Dipendekkan cerita,
malam tadi aku dapat
tidor nyenyak
sebab hati tak
geram
malah jadi amat
tenteram.

Aku jadi
tenteram apabila
melihat
betapa tingginya
hemah dan tertib
pemimpin Melayu
menunjukkan
contoh untuk
diteladani.

Amat tertib
Sekali
Dato Seri
Shahidan
mencium tangan
YAB Dato Seri
Perdana Menteri
kita.
Sesiapa yang
mahu turut
tenteram
dan dapat tidor
lena,
tenguklah
gambar itu dalam banyak blog.
Antaranya,
blog Raja Petra,
Malaysia Today
dan Laman Marhaen.
Demikianlah
hebatnya
Kepimpinan
Melalui Teladan.
Kita boleh tidor
lena tanpa mimpi,
ngigaupun tidak.
Eii, bestnya!


yassinsalleh
1720 hrs april 29, 09
melintasi
titiwangsa
mencari
serinditku
yang luka

Kita Berbagi Sama Rata

Mari kita
rebahkan
mentari pagi ini,
kita belah dan berbagi
sama banyak
tanpa haloba,
sampai matilah
kita benderang
sendiri,
orang lain
bergelap
kita apa peduli
pergilah mati!

Malam nanti kita
ambil pulan bulan
kita kerat ambil
sorang sebelah
orang lain jangan
kita pedulikan
malamnya gelita
tak dapat
bercumbu rindu
pergilah mati!

Esuk pula kita
berbagi
titiwangsa
dari gunung
tahan
ke teberau
engkau
ambiklah
dari genting
highland
ke segenting
kera
aku nak,
Dipuncaknya
kita bena
mahligai
engkau satu aku satu.

Orang lain nak
duduk dalam laut ke,
dalam sungai ke,
dalam parit ke,
dalam longkang ke
kita peduli apa
pergilah mati!

Sekarang
engkau dah
tenguk
sendirikan
bahawa
aku sikitpun tak tamak,
segalanya
kita berbagi
sama rata.


yassinsalleh
1008 hrs april 30, 09
di lebuh raya
timur-barat,
pulang
dari meniduri
mimpi