yasleh rita ayu, yasleh khaliff amri, yasleh hani wati

Introduction

My photo
Since 1968, when his first poem Sebuah Sumpah Derhaka was published in Majalah Mastika, dad has written voraciously, but at the same time is so disorganized that we could hardly keep track of what he has written. It is even worse now that he writes his poems in his phone and sms it to us his children. Believe you me, he spent a lot of money on smsing long poem to us that is sometimes lost to accidental deleting. So we, his three children - Yasleh Rita Ayu, Yasleh Hani Wati, and Yasleh Khaliff Amri - decided that enough is enough, we need to keep some kind of record of his poetry, thus the creation of this blog. This will be a cache to collect all his old poems and a safe to keep all his future ones. In the film world, mentioning my dad's name will immediately brings to mind his 9 awards winning film Dia Ibuku in which he personally won 2 - Best Director and Best Screenplay- but in the literary world the poem ikan-ikan di kaca is synonymous to him, hence the name of this blog.
ikan-ikan di kaca
(buat adik-adikku tom dan ani)

pun mentari sudah tiada api
dan bulan yang merdu
sudah sejuk nyanyinya
di hujung jari jemari embun
kita masih belum terlalu lewat
untuk menerima satu hakikat

ia,
kita anak-anak satu keturunan
yang menganuti escapisme
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
ia
ikan-ikan di kaca.

ikan-ikan di kaca indah alamnya
ikan-ikan di kaca gemulai renangnya
ikan-ikan di kaca manja hidupnya
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

tidak lama lagi
embun
akan kering
dan mentari
berapi kembali
kuharap
kalian sudah mengerti
bahawa kita
selama ini
hanyalah
ikan-ikan di kaca
esok
masihkah kita
ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
Kuala Lumpur akhir 1969
Dewan Masyarakat, April 1970

Tuesday, April 28, 2009

Kalaulah Dalam Mimpi

“Tolong berhenti nyanyi boleh tak?”

Khianatnyalah,
nyanyian itu mendera
bagaikan menabur bara pasir
ke mata fakir nestapa.
Betapalah ya mampunya aku
sekadar menyisir rambutnya
bagaikan angin timur
menunda buih ke pasiran rindu
yang tak kesampaian.

Lagu yang kau tak mau
kedengaran itu
kalaulah dalam mimpi
itu adalah genta sepiku
yang tak terbisikkan
itu adalah rontaan rinduku
membenamkan gelisah
pilu yang
singgah,
kakinya luka
tetancap
pecahan kaca
jendela yang enggan dibuka

Alahai,
kalaulah sekadar menyanyipun
sudah demikian kau angkuh serakah
betapalah gerangan amarahmu meledak
sekiranya aku minta pinjam sebiji viagra
dan angsa tua yang kau tiduri itu.


yassinsalleh
2023 hrs, april 27, 09
mencari esuk untuk
menempah lusa
yang tak tau berkata-kata.

Monday, April 27, 2009

What a Wonderful World.

Hari ini hari Ahad,
aku letak kereta di tepi jalan sekejap
masuk duit mesin bank
bayar hutang credit card.
Sampai kat kereta
polis tengah tulis saman
salah parking…
dedikasi betul polis
hari cuti am pun,
Sedia Berkhidmat!

Nak bagi duit kopi
aku takut polis tu nanti kata
“Encik tak nampak ke kat dada saya ni?”
Aku tenguk menjerit megah slogan:
KAMI BENCI RASUAH
Alhamdulillah!

Akupun pergi chowkit
gunting rambut bagi kontot
nanti tak payah beli syampu,
mahal.
Sampai kat kereta,
kono saman lagi den!
Ayo golo dek eh jang oi!
Padan muko den
gomar langgar undang-undang
Untung tak kono lokap!

Alhamdulillah,
Malaysia bertuah,
polisnya amat dedikasi
dan benci rasuah

Alhamdulillah,
polis benci rasuah
makanya,
hukum lojik merumuskan,
jesteru polis benci rasuah
polis akan tangkap semua orang yang rasuah.
Alhamdulillah!

Masyaallah!
siapa nanti nak ketuai
kampong dan mukim,
siapa pula nak jaga
daerah dan wilayah
siapa pula yang nak luluskan
balak dan AP,
softwares dan hardwares PPSMI
tergendala pula
nayalah anak-anak nak belajar
nanti tak layak pula jadi glokal

Tapi syukurlah juga
takde menteri yang akan kena tangkap
kalau salah
parking
derebar
menterilah yang kena saman.
Alhamdulillah,
pentadbiran negara takkan terjejas
kerana polis tak dapat nak benci menteri
sebab menteri tak ambil rasuah
menteri ambil komisyen je!
Alhamdulillah!

What a wonderful world.



yassinsalleh
2317 hrs, april ,09
esuk nak motong
kumpul duit
nak bayar
kompaun.
Dua saman
den kono jang ooi!

Sunday, April 26, 2009

Kelepek Wek Belake!

Guane pulok
ganu kite ni
nok jugok
merase
se perahu due
jeragang
serupa selera
pipik ubang
sorang putih
sekor hitamg,

Di melake lagilah
lahabaunye
dah kene
tangkap curia yam
masih jugak
boleh jage kandang
hawau betul
bendahara melake
dulu yang buntingkan tiang telefon
tak kena apa-apapun
tapi kelendan
roket pulak
yang masuk penjare.

Begitu ramai
jutawan balak di pahang
yang Long
sorang kena
tanggung aib
pikul malu
engkar perintah mahkamah tu apasal!
tokkanloh pahang doh tok
beduit lalu weh!
entoh maneloh
koi nok nyorok muke
bak kato orang
jando baik
buat malu kon ajo
Ituloh citer ek!
kate pulok orang jerantutnye.
care handelloh awok merentoh weh
lewat amat samsennye!
Jueh mulut orang di pecan sari temereloh.

Ai, takkan tiga saja citernya?
Nak sampai empat nanti
marah pulak Tan Sri P. Ramlee,
Satu, banyak-banyak!
Dua, jarang-jarang!
Tiga, kadang-kadang!

Bakpe pulok tige saje tu!
Doh Jeragang Besor tige sejoli
Datuk Nikoh Kawing kire sapai
tigeloh juge,
tok bolehloh tamboh menamboh,
tok comel!
Se jantang, se betine, se lagi situe banke!
Kelepek wek belake!

yassinsalleh
0232 hrs april 25, 09
di bawah rimbunan cempaka tinggi,
kelopaknya mekar menggapai awan

Semalamku Itu

Serindit di pucuk meranti
menyanyikan
mentari melarik pelangi.
Dara sunti
bersimpuh di batu
menantikan
berakhirnya
rindu.
Bangau hinggap
di ranting mati
mencari kerbau
yang hilang.
Belalang berlompatan
di batang padi
jatuh berpaut di daun keladi.
Tempua menganyam sarang
di daun kelapa
sambil merbah bersahutan
panggil memanggil
ajak berkongsi pisang sesisir.
Aduhai,
Ponson,
kampungku
ke manakah
hilangnya
semalamku itu?

yassinsalleh
1712 hrs, march 09
kg Ponson,
manchis.

Friday, April 24, 2009

rumahINDUK, rumah PUSAKO Nan Gadang

Cuba
dan cuba
dan ku cuba lagi
berulang kali,
ku cuba mencari
kesan denai-denai laluan remajaku,
memikat balam di pinggir hutan,
menajur haruan di tebat pandan,
mengutip berangan gugur bersepahan,
menggetah punai di hujung dahan,
melastik tupai makan putik durian,
sambil menunggu merbah datang
menyerah
ke pintu jebak
tiang buluh kulit
bertam yang tengadah.

Aduhai,
bagaimanakah
akan tercari
olehku lagi
denai-denai
laluan remajaku
yang telah mangajarku
menyayangi
alam
dan segala
hikmah
kesemulajadiannya
yang telah mendidikku
menghargai daulah
imbangannya,
yang mengikatku ke dahan ingatan
yang tertambat ke pohon zaman
yang sudah entah kemana hilangnya
kenangan tak berkesan.

Bersama semalamku
yang tidak lagi menyambutku pulang
terlentang sawah dah jadi belukar
dan mayat pepohon pokok,
pokok hutan bergelimpangan
di tengah halaman
rumahINDUK
rumahPUSAKO
nan gadang
yang lengang.


yassinsalleh
1751 hrs april 24, 09
Pelangai kampungku lagikah engkau ini?

Malang Oh Malang!

Perak Berselerak
nak lelong camry
di carpark
lapangan persendaan hak
tak berhak
seloka pohon pokok
si balai-balai,
jenaka hukum lelucon
para badut sarkas
mempersenda maruah rakyat
pada tahap kebangsatan
di bawah aras kedunguan
seekor lembu bunting.

Pulau Pinang Tercengang
dikatakan demi tidak mau
membazir wang rakyat
penanti tidak akn ditandingi
demi tumpuan ke arah
mentadbir ekonomi negara
yang kian tambah caca-merba
Alhamdulillah,
sedemikianlah mudahnya
dianggap bahawa akan sebodoh itulah
rakyat menerima kewalian
seorang perdana
memperlembukan kebijaksanaan rakyat,

Pahang Tunggang Langgang
Perintah Mahkamah
supaya dibayar hutang
tiada sedikit diberi nilai kepedulian
bagaikan suara pengundi pelangai
yang walang berdendang
sayang long sayang!

Jembatan Bengkok
yang lagi berkokok
dulu selaku menteri
nyaring lantang
sokong si tukang batal
kini selaku menteri
tak dilantik lagi
terpekik
terlolong sokong
si tukang nak batal kebatalan.

Aduhai,
Tiadakah dalam Kamus Dewan
takrif perkatan pordah!

Wahai kerabatku
Anak Bangsa Malaysia
Let Them Insult Our Intelligence
At Their Own
PERIL!
Malang Oh Malang!


yassinsalleh
2155 hrs april 22, 09
terasa meloya
macam lembu
katuk
bunting sulong.

Wednesday, April 22, 2009

Bisu, Tuli Dan Kering Layu

Sungguh malangnya
melayu
bahagianya
menjunjung setia
bangganya
berdatang sembah
senantiasa gembiranya
melutut bertelut
sujud
penuh tertib yang amat
takzim
terpasak tangan di dahi
sambil bontot
tercangkuk duri
serelanya
menanti janji
yang mungkirnya
jelas sudah
terukir
di dahi para pemimpin
yang lanun pun tak mau bertuan.

Demikianlah
melayu
yang mendayu
dan merayu
dan merapu
“Hambakanlah daku
Hinadinakanlah daku
Injakkanlah darjatku
di bawah debu telapak kakimu,
Demi kesetiaan,
Senantiasakanlah aku
didemikiankan,
semoga
aku akan terus
menyemalu
dungu,
bisu, tuli dan kering layu,
demi
kelansungan satu bangsa
berketuanan
warisan tamadun tinggalan
sangsapurba
dan
perlentekeling!”


yassinsalleh
1925 hrs. april 21, 09
merumput batas keledek
yang melebar tumbuh
duri semalu

Tuesday, April 21, 2009

Pelangai, Tak Adakah Anak Jantan Lahir Di Sini?

(i)
Aku pulang dari mimpi,
bertahun-tahun meniti ilusi,
oh Semalamku,
di manakah halaman permainan
kemanakah hilangnya sungai mandian
paginya merbah
tidak lagi bersahutan
tengaharinya puyu dan buih
tidak lagi senda gurauan
bila redup mentari
tidak lagi kelihatan tangkasnya murai mengejar belalang
petangnya,
tidak lagi pulang kerbau meniti permatang
rembangnya lembayung
tidak menyisir rambut awan
tiba senja
tidak lagi kendengaran nyaring suara
tabtibau tinggi melambung

(ii)
Aduhai Ponson kampungku
katakanlah ini hanya selembar mimpi
katakanlah ini bukannya rasukan igauan ngeri.

Sawah yang kontang
Sungai jadi longkang
Hutan yang hilang
Belukar tumbuh lalang

Anak bujang di pusat serenti
Dara bertudung dibawa lari
Cucu pulang masakkan maggie
Dagang datang jadikan menteri,
Mulutnya lancang budinya uang,
Bijaknya sampai berganda hutang

(iii)
Duhai Merdeka
Inikah tamadun yang kau tegakkan
Dari kata hikmatmu Pembangunan!

Pelangai,
Tak adakah
anak jantan lahir
di sini?


yassinsalleh
1616 hrs april 21, 09
kembali ke kampong
kerikil menancap kaki

Sajak Terakhir

Yang mengada-ngada pergi sms
sajak ngabiskan kredit fon
pada orang yang tak peduli tu
buat apa?

Ngok betullah
engkau ni wahai
penyairSMS
Nak beri bunga
berilah pada burung kelicap,
nak beri teras
berilah pada pembuat gasing,
nak beri beras
berilah pada orang makan nasi.
beri seni pada
peminat akademi fantasia
buat hapa?

Makanya,
Adalah dengan ini
ditamatkan
kiriman sajak tak diundang
kepada
encik-encik dan tuan-tuan,
memang sahaja begitu adanya.
“Alhamdulillah, syukurlah!”

Hello burung tukang
jom kita
deklamasi sajak di perkarangan
keratonBUDAYA belasungkawa
kita bagi tamadun hemah dan budi suatu bangsa
yang kian terpesona dengan
kontrekFATAMORGANA.


yassinsalleh
0213 hrs. april 21, 09.
menongkah keserakahan
angin malam
penubuhan kelab ahli seorang

CawatBESI KalisANJING

Bayangkan di sepanjang
lebuhraya utara-selatan
dipasang billboards bertulis:
PENGUMUMAN
Telah ditemui
satu kaedah innovative
untuk melatih anjing-anjing
alsatians
Mengadili dan Menghukum
pengadil-pengadil bolasepak
yang tidak adil.

Bayangkan:
All England FA mengarahkan
dipasang di setiap
gerbang stadium plaques bertulis:
BEWARE of dog!
Pengadil-penghadil yang takADIL
akan diadili dan dihukum
oleh Anjing Pengadil & Pelaksana Hukum.

Bayangkan pula tajuk berita
The London Times:
Judge, Jury & Executioner Dogs,
Ripped off Biased Referee's Balls!

Bila anjing pengadil dan pelaksana hukuman
MENDAPATI
Bahawa Referee
Telah Dengan Tidak Adil
Melayangkan Kad Merah
kepada Wayne Rooney -
seramai tujuh ekor anjing pelaksana itu
telah mengejar referee itu keliling
stadium dan anjing
itu telah ngap dan mamah
telur referee
yang takADIL itu.

Bayangkanlah
betapa sempurnanyalah
dapat dimuktamatkan
prihal ceritera
pohon pokok si balai-balai
sekiranya khidmat para anjing
mahaADIL itu
diterima dan digunapakai.

Berebut-rebutlah pulak nanti
orang nak meminta lesen
buka kilang
cawatBESI
kalisANJING.

yassinsalleh
1838 hrs. april 20, 09.
lebuhraya menuju selatan

Sunday, April 19, 2009

Uwan

Uwan
masa aku kecil
uwan serahkan rotan sebilah
pada Ulung Berahim guru Quranku
"Kalau jahat cucu se
dogil dio taknak belajar
taknak nongar cakap;
kau rotanlah dio
jangan buto jangan patah
sudahlah."

Alhamdullillah
uwan
aku membesar, remaja
berkeluarga
dan kini sudah tua
dalam sesempurna
yang terdaya ku renangi
arus takdir
hayatku.

Uwan
di kota digital ini
anak-anak mengaji
pakai software
uwan,
pada siapa nak ku serahkan
rotan?

Uwan
bawalah aku
pulang ke kampung
dan kembalikan
semalamku
yang hilang
di kota ini
orang-orang
dirotan
kalau mereka
takmahu jadi
setan.

yassinsalleh
Mac 26, 09
perjalanan pulang
jam 21.28.

Saturday, April 18, 2009

Puisi-puisi cinta

You are already here

intan luv
if i should create
my own perfect angel
i’d take the brightest biggest stars
and place them in her eyes
i’d find the most expensive
thread of silk and give her hair
i’d find the best of cloth on earth
and dress her in it
i’d use the sweetest sugar
and make her lips
but since that would take so much time,
i’m glad you are already here

---yassinsalleh—
31 jan 2008
sanggar fatamorgana,
taman saujana impian, kajang


my dearest beloved I


darling intan
i love you so much
how could i possibly
love you more
when it is you
that i adore
as each
digital texting
of our feeling
captivated me deeper
and deeper in love with you

my dearest beloved darling intan
you are so special
and i want to say i love you more
with each passing second
i would show you how much you mean to me
with hugs and kisses placed so tenderly
so my dearest beloved cute doctor lady
if you love me, as i do you
then these feelings we share
must be true

---yassinsalleh—
3 feb 2008
taman saujana impian, kajang


my dearest beloved II

intan,
listening to
the lullabies of night wind
beyond the teasing
ecstasies
of recurring dreams
beyond the light
of nocturnal flame
not wanting
to count
still more emptiness
and wasted starlight
in the caresses dew-drops
in the melancholic symphony of desires
i am going to serenade you my beloved intan
with the songs of rainbows
but then
will there ever be
reality in the dawn awaiting
or just
another mirage
celebrating your smile
in the morning sunlight turned gray?

---yassinsalleh—
4 feb 2008
taman saujana impian, kajang


the ever teasing mirages

here i am again luv
all alone
celebrating
the color of rainbows
in the realm of dreams
in a never ending
helplesness
to love
like never before
fulfilling
the ultimate desire

having crossed
all boundries of hurts
should i gamble still with my heart
seri intan
like the wildest dream
too suddenly, you appeared
an angel so temptuos a goddes of love
so captivating, so inviting
you are
my dearest beloved

are you real seri intaku tersayang?
or am i still to be very much
mesmerized
by the dimensions
of the ever teasing mirages
of an angel’s smiles

---yassinsalleh—
1537 hrs, 11 feb 2008
taman saujana impian, kajang


bluesRINDU satu buat intan luv



ingin saja rasanya
ku pinta angin malam ini
merentas mega melintas segara
untuk membisikkan rindu padamu
duhai intan dewi ilusi ku
betapalah,
kiranya kita, kau dan aku
dua hati bertaut bagaikan satu
mengayam pelangi
memintas mimpi
lautan ilusi

intan luv,
apakah kita
akan hanya sekadar berseloka
dalam pelangi ilusi
saling melarik kiasan meraut andaian
dalam anyaman mimpi mempertaruhkan
bahagia dan nestapa

intan luv,
terlalu ingin aku
merentasi saujana keterasinganmu
tapi betapalah ya,
syahdumu dan nestapaku
tidak mungkin anyaman mimpi,
ah, fatamorgana!
sebagaimana ia tiba-tiba datang
ia tiba-tiba hilang,
maka itu,
akan ku titi pelangi ini sendirian
sambil menatang nestapaku
dari benua ke benua


---yassinsalleh—
31 jan 2008
sanggar fatamorgana,
taman saujana impian, kajang

bluesRINDU dua buat intan tersayang

intan, dewi ilusiku luv,
malam ini
bintang-bintang tidak mendandan awan
bulan juga tidak menyuluh rindu
kerana hujan yang turun membasahi pilu
akan memadamkan nyalaan api malammu
dan baranya akan menjadi debu.

intan luv
nyalaan diniharimu
tidak akan mengulit rindu
tidak jua akan mengirimkan
merdu simfoni
keramat suaramu membujuk
ketewasan takdir seorang seorang fakir kasih
yang sudah lengkap sempurna
mengumpul segala nestapa,
maharnya melamar
kematian janji-janji mimpi
maka terdamparlah si fakir kasih ini
di hamparan bara pasir
sambil dengan rakusnya dia menghirup
duri-duri kaktus
dan, aku tahu betapa
sekian ini lamanya sudah
dia derita
kerana si fakir kasih itu
adalah aku

---yassinsalleh—
3 feb 2008
taman saujana impian, kajang

bluesRINDU tiga buat intan tersayang

intan,
di malam-malam begini
terasa ingin saja aku,
menulis namamu
di pasiran pantai
di bawah seloka rembulan
dan bintang-bintang menari
tapi sayangnya, intan,
ombak akan membasuhnya hilang

sayuPILU begini
terasa ingin saja aku meniti buih
di damparan ombak menyaksi laut malam
mendakap pantai
rindu dendamnya bilakan langsai?
tapi sayangnya ya, intan,
bulan tak bermadu di fatamorgana

piluSAYU begini
terasa inin saja aku berdiri
di sempadan hari mencumbu senja
mendakap sepi langit petang menganyam pelangi
tanpa burung-burung terbang lagi
dan akan ku bujuk hatiku yang hiba,
akan ku lukiskan wajahmu di lembayung senja
tapi sayangnya nanti angin akan meniupnya hilang
lalu malam ini pada dinding bahara akan ku pahatkan
namamu di lakaran puisi kembara simfoniILUSI
dan fi fakir kasih apinya membakar sepanjang malam
baranya akan terus menyala ke dinihari
bulan terendam di muara pelangi
mentari terbenam
di hujung mimpi
intan

---yassinsalleh—
4 feb 2008
taman saujana impian, kajang


simfoniKASIH buat seri intan


intan sayang
sehari berpisah
bagaikan tujuh benua
menghalang kita dari bersua
bilakah nanti kiranya bermula
rasa terbuang begini
diterjemahkan
sebagai rindu
di manakah nanti mungkinnya
menganyam pelangi
memintas mimpi lautan ilusi
menjelmakan fatamorgana
sebagai realiti
di mana kita, kau dan aku,
akan menyatakan yang sebenarnya
bahawa kita bukan cuma
sekadar berseloka
dalam melodi pelangi mimpi nyanyian ilusi
senandung kalbu melarik kasih meraut sayang

seri intan luv,
terlalu ingin aku meniti mega
merentas segara keterasinganmu
menghamparkan rindu
tapi betapalah ya intan
my dearest beloved dewi ilusi
mana mungkin di pelaminCINTA
bersanding syahdumu dan nestapaku
kerana menaraKASIH yang abadi perkasa
tak mungkin terbina di atas tapak anyaman mimpi
makanya akan sendiriankah aku meniti pelangi
sambil meniup nafiri simfoniKASIH
MELODIsepi yang bergema
dari benua ke benua

---yassinsalleh—
0527, 12 feb 2008
taman saujana impian, kajang


Antara nestapa dan simfoni rindu Si FakirKASIH
buat seri intan mokhtar, isteriku tercinta

intanku tersayang
telah sekian ini lamanya
nestapa, adalah nafas yang ku hela
derita, adalah air membasuh muka
duka, adalah lara mendandan wajah
pilu, adalah sembilu menghiris kalbu
sayu, adalahsimfoni mendodoi rindu
dan, bara sahara hamparan tidur ku
sementara, duri kaktus air minum ku.

iya,
intan ku manja
demikianlah,
nikmatnya kembara ku
mencari kelangsaian usia
di perhentian terakhir takdir
si fakir kasih menimang sengsara.

dalam demikian
bulan, mentari dan bintang-bintang
mempersendakan ku
kau,
intan ku tercinta,
tiba-tiba datang
membetahkan segala
ketewasan ku.

dan,
maut yang setiap detik ku tuntut,
tiba-tiba
membuat aku takut
kalau sekarang ini pula
bagaikan amat setia
ia tiba-tiba datang menjemput

intan, dewi jelmaan ku
adakah engkau sayang
sebenarnya,
engkau yang menyintai ku
atau,
cumakah engkau
imbasan fatamorgana


maut,
aku sudah tak mahu mati
aku mahu hidup hingga gugur mentari
aku mahu berkasih hingga tersungkur bulan
aku mahu bercinta hingga lebur semua bintang-bintang
aku sudah ada seri intan

akan ku bina
sehamparan taman firdausi
di mana aku dan intan
akan memohon tuhan
memberhentikan waktu
dan kami akan terus
begitu, di situ
dari kini hingga bila-bila
selama-lamanya

intan, peluk lah aku
dakaplah suami mu
dalam alunan kecapi
dalam harum firdausi
tamanKASIH kita
yang kekal abadi
keramat dan sufi

---yassinsalleh—
21:07 hrs, 22 feb 2008
kamar 137, seri malaysia hotel, genting highland


Matematic cinta

yas + intan = cinta bahagia
intan + yas = kasih abadi
yas & intan = fatamorgana jadi nyata
intan & yas = nestapa jadi firdausi
yas x intan = merata gunung menimba lautan
intan x yas = menjangkau benua mendandan pelangi
yas/intan = mentari terendam bulan gerhana
intan/yas = langit gempita bumi terluka
intan- yas = pelangi hilang warna, simfoni sumbang irama
yas- intan = bumi & cakrawala lebur jadi debu
---yassinsalleh—
17:01 hrs, 23 feb 2008
kamar 137, seri malaysia hotel, genting highland


rindu si fakirKASIH

sayang sangat-sangat
rindu terlalu amat
sayu menghiris kalbu
pilu menyayat sanubari
pedih dan perit menghimpit jantung
sunyi dan sepi melodi pelangi

demikianlah intan ku tersayang
si fakir kasih
menatang lara
bila kau tiada di sisi nya

---yassinsalleh—
17:51 hrs, 23 feb 2008
kamar 137, seri malaysia hotel, genting highland


syurgaKASIH

embun yang mulai turun ini sayang ku intan,
adalah airmata langit malam yang pilu,
di tinggal bintang-bintang
yang entah ke mana menghilang

dan gulita malam yang menutup pandangan ini,
manja ku intan
adalah sembilu yang menghiris kalbu
alam kehilangan belaian sinar rembulan
yang tiba-tiba entah kenapa hilang

dan dalam demikian
langit luka menatang nestapa
aku masih mampu membujuk hatiku yang rindu
kerana aku tahu betapapun kita jauh terpisah
bagaikan mentari yang esuk pasti terbit
begitulah aku pasti
yang kita akan tetap terus membina syurgaKASIH
di hujung kesaujanaan rindu
---yassinsalleh—
04:58 hrs, 4 march 2008
kajang, selangor

Asap masuk ke mata

kalau rindu adalah harga
yang perlu di bayar untuk mengukur kasih,
akan ku bayar tunai setiap hari,
tanpa sesal,

dan kiranyalah asap masuk ke mata,
adalah hutang yang perlu tu tanggung,
akan ku lunaskan setiap kali
tanpa kesal,
kerana telah demikianlah kita persetiakan!
---yassinsalleh—
10:51 hrs, 4 march 2008
kajang, selangor


Sepuloh Budak Hitam versi CINTA

sepuloh budak hitam duduk tunggu intan
satu sedang rindu, tinggal lagi sembilan,

sembilan budak hitam tengok gambar intan,
satu sudah pilu, tinggal lagi lapan

lapan budak hitam tunggu text intan,
tak tiba-tiba tinggal lagi tujuh

tujuh budak hitam rasa amat sayu
intan membisu, tinggal lagi enam

enam budak hitam tengah cari surau
atau masuk hutan terus jadi syakai

satu dan dua dan tiga dan empat dan lima si budak hitam
enam dan tujuh dan lapan dan sembilan dan sepuloh
sangat sayangkan intan

---yassinsalleh—
11:11 hrs, 5 march 2008
kajang, selangor


berkongsiNESTAPA


intan sayangku,
sekiranya diberuntungkan takdir,
aku akan berakhir di syurga
dan kalaulah kau tiada di sana bersamaku
akan ku tinggalkan sungai madu,
akan ku lepaskan kecapi merdu
lantas pantas
akan ku pergi ke neraka mencari mu
duhai intanku
syurga tanpamu
adalah neraka bagiku
dan neraka bersamamu
adalah bahagia bagiku
berkongsi nestapa
adalah menara kesetiaan cinta ku terhadapmu
intan sayangku

---yassinsalleh—
02:13 hrs, 26 march 2008
kajang, selangor

dalam pautan fatamorgana

intan ku tersayang
taukah kau kenapa
malam ini bulan tidak menyuluh alam
dan bintang-bintang tidak menari
dan awan gemawan tidak berdandan
dan unggas malam tidak menyanyi
makanya langit gulita kehilangan warna
malam jadi suram menimang sepi
embun jadi debu memilin mimpi

taukah intan kenapa demikian jadinya?

kerana tadi malam
keindahan cinta dan kasih sayang kita
tiba-tiba hampir tertimbus
dalam pautan fatamorgana
yang mula menghilang di bara nestapa

makanya,
bulan terasa hiba
bintang-bintang terhiris pilu
awan gemawan dipilin sayu
unggas malam kehilangan hala
dan dingin embun terisak tangis
kerana mereka
tak sanggup melihat
betapa kau dan aku
merebahkan menara keramat
keabadian cinta kita

---yassinsalleh—
02:50 hrs, 26 march 2008
kajang, selangor


Rindu Hati Ku


rindu bayangan,
rindu seri wajahmu,
rindu hati ku,
rindu yang pilu dan sayu,
rindu hati ku kasih ku jauh di rantau orang,
rindu hati ku tak sabar menunggu kau pulang
rindu hati ku rindu pada mu
intan ku yang tersayang,
rindu hati ku
rindu oh rindu segeralah kau pulang
rindu hati ku
rindu! rindu! rindu!

---yassinsalleh—
15:57 hrs, 16 april 2008
kajang, selangor

persendaanKASIH.

engkaukah itu fatamorgana?
tak mengapalah,
pun jernih dingin tebat ini
airnya akan kembali menjadi
bara pasir hamparan tidur ku
akan ku dakap semula
seloka nestapa
dan serelanya akan ku minum
cangkir demi cangkir
duri kaktus
kerana sudah demikian
takdir menentukan
persendaanKASIH.

---yassinsalleh---
0140, april 19, 2008
dusun damai, pagoh, johor.


permakamanku

kalaulah langit biru
hiasan bulan malam ini
tiba-tiba mencurahkan hujan
itu adalah rembasan airmata
seorang fakir kasih
yang tersula matanya
dan darah yang mencurah
menyiram nestapa semalam
kembali segar meraikan
permakamanku!

---yassinsalleh---
0152, april 19, 2008
dusun damai, pagoh, johor.


Malam Ini Gunung Ledang Rebah

malam ini
gunung ledang rebah
dibenam
embun duka
lalu puterinya bagaikan
tertawa berkata,
“pun aku cuma
separuh cantiknya dia
malam ini kau mengadukan jua
nestapa mu
pada ku.
dan aku akan ke mana
mengulit sengasara?”

duhai intanku tersayang
kalau benarlah kau sayang padaku
berilah aku secangkir racun
untuk ku minum.

---yassinsalleh---
05:34, 19 april 08
dusun damai, pagoh, johor

bagaikan hujan

bagaikan hujan yang turun ini
pernah airmataku
bercucuran
mengiringikepedihan
lara pilu piatu
pernah dalam hujan beginilah
ku heret kakiku lemah longlai
membawa
hatiku yang lara
sembunyikan airmata.

dengan mesra jari hujan
menyisir rapi rambutku
bagaikan halus jarimu
yang membelaiku
lalu dalam hujan petang ini
kembali ku kunjung harga diri
apalah yang sedang ku cari
rebah di hujung pelangi!

---yassinsalleh---
17:05 11 july 2008
tualang sekah, malim nawar, perak.


Di Hujung Mimpi

pun sedemikian bahtera terakhir ini
patahlah sudah tiang layarnya
dan pelaut tua itupun
tidak lagi mengutip angin
membilang bintang di pucuk ombak
bagaikan fatamorgana kasihnya
terdampar di hujung armada.

---yassinsalleh---
14:14, 25 nov 08
kajang, selangor

Siksa Sungguh Rindu!

kadang-kadang kita singgah
mandi air terjun
sambil mendengar serindit
berkicauan
dan mentari turun
menyulam pelangi
indah sungguh bercinta.

kadang-kadang kita singgah
menghitung manik embun
sambil bintang-bintang menari
dan bulan membelai
tubuh kita tak berbenang
nikmat sungguh berkasih.

kadang-kadang pula
kita terdampar di gurun sengsara
kita berdakapan
di ranjang kerikil
dan bara pasir
menghampar pilu yang amat
saujana
duri kaktus pembalut luka
tabah sungguh merempuh dugaan.

tiba-tiba kini kita tidak lagi
meniti pelangi
kerana kau tak mahu lagi
menatang mimpi
dan aku tak pandai
menjanjikan fatamorgana
siksa sungguh rindu!

---yassinsalleh---
14:30, 19 disember 08
lata kinjang, perak


Puteri Gunung Ledang Cemburu Lagi

sekiranyalah
puteri gunung ledang
menatap wajah mu
dia akan terasa amat cemburu
kerana dia tidak pun separuh cantik mu

dan sekiranya diberuntungkan takdir
aku ditempatkan di syurga
sekiranya tidak ku temui engkau di sana
maka akan ku tinggalkan
sungai madu dan kecapi merdu
dan akan aku turun ke neraka untuk bersama dengan mu
demikianlah kasihnya hati ku ini terhadap mu sayang ku

---yassinsalleh---
03:27, 21 desember 08
bam villa, taman maluri

Kicau Serindit

kerana wajah mu separuh sembunyi,
melalui matamu aku masuk ke kamar kalbu mu,
yang ku temui taman pelangi mekar ranum,
kuntum-kuntum orkid menari-nari dalam melodi bayu,
mengiringi kicau serindit mendayu pilu menahan sendu

---yassinsalleh---
22:45 hrs, 29 march 09
bt puchong, selangor

Perjalanan Kian Memanjang

meminta pada yang ada
merajuk pada yang sayang
bermanja pada yang kasih.

betapalah ya, rupanya,
kita telah meminta pada yang tak punya
tiadalah ia perasaan
tiadalah ia bijaksana
tiadalah ia pengertian
tiadalah ia kemanusiaan.

makanya,
apa yang nak dirajukkan
tiada sayang di hatinya
tiada manja di jiwanya
takkan terbelai luka kalbu yang luluh
kerana tiada kasih dalam dirinya

yang meminta
buanglah tempurungmu
yang merajuk
minumlah racunmu
yang minta bermanja
bentanglah bara sahara
sesaujananya
dalam perjalanan
yang kian memanjang ini
kita minumlah duri kaktus
dan kita bakar fatamorgana.

araklah mimpi
kerana mimpi menjanjikan harapan
kerana cumalah mimpi
yang ada lagi untuk dihitung!

---yassinsalleh---
11:11, 3 april 09
bt puchong, selangor

Bagaikan Tiada

kata pujangga
bermanja pada yang kasih,
merajuk pada yang sayang,
meminta pada yang ada,

kerana aku cumalah seorang penyair
bagaikan pelaut pilu
yang sekadar singgah di pelabuhan kotamu,
takkanlah dapat aku mohon bermanja,
mana mungkin ada kasih
yang tiba-tiba ranum
menguntum di taman hatimu
sepantas kecantikan mu memukauku
apalah yang hendak ku rajukkan
mana mungkin rasa sayang
berkembang di kolam kasihmu
kerana aku cumalah bagaikan penggembara lara
yang berlalu melintasi simfoni pelangimu

makanya,
tiadalah apa
yang dapat ku pinta darimu
duhai intan nan ayu jelita
kerana aku tiba-tiba datang tanpa undangan
kerana aku tiba-tiba singgah tanpa pelawa
dan demikian
aku tiba-tiba menjelma
sedemikianlah jua aku menghilang
meneruskan kembara mencari pelangi fatamorgana
kau anggaplah saja segalanya aku bagaikan tak pernah ada

---yassinsalleh—
03:28 hrs, 15 april 09
bt puchong, selangor
pilu kian menusuk, sayu kian menikam

Raja Catur

Wahai raja catur,
dandankanlah
hiasan rambut
permaisurimu,
kukuhkanlah
benteng tembuk
istanaMu,
jangan pedulikan
barisan soldadu
sepertiKu,
yang tersetia
untuk
sembelihan korban,
untuk lelongan di
pasar cyber,
hiasan temasya
orgy keraian erotica,
teketnya sudah
ku bayar dengan
keringat
di ranjang
membuka mesra
dada dan peha
kebasahan
memanjang.

Tiada pingat
Yang ku pinta,
cuma, sekiranya
tiba waktunya
janin kita akan diledakkan
sekadarnyalah,
pusaraku biarlah
bernama.

Kerananya aku
hanya satu
antara beribu
buah caturmu,
walaupun ada,
bagimu aku
tetap tiada!


Dr. Seri Intan Mokhtar
Jam 2335, 16 April 09
taman tinggi cempaka
maluri, kl

Menunggu PAPAnya Datang Membawa Paku

Ada satu orang.
Dia takde kerja.
Dia takde duit.
Jadi dia takdelah kawan.
Diapun bekawanlah dengan burung tukang.

Burung tukang itupun ajaklah
dia bertukang buat kerusi
speaker
di pangkal pohon pokok si balai-balai.
Makanya setiap malam
bertukanglah dia di bawah pohon pokok si balai-balai.
Letihlah dia bertukang.
Kesian dia,
penat sangat –
dah tua!

Diapun
berehatlah
sekejap, lalu tertidor.
Datang seorang perempuan cantik,
pakaiannya serba putih,
berlumuran darah,
lalu dia berkata,
“Tolong buatkan buaian.
Saya nak buai anak saya.
Kami ni nak tunggu papa anak saya
datang bawa paku dua batang.
Kami nak jadi orang semula.
Saya nak minta lepas ditembak mati,
janganlah diledak kami.
Biarlah papa saya bawa kami pulang.
Dapatlah kami dimakamkan dan
dapatlah kami pulang ke akhirat.
Tidaklah roh kami terayau-rayau bagaikan sekarang.
Tolonglah buatkan kami buaian, ya!”

Malam nanti aku akan
bersama
kawanku burung tukang pergi ke pangkal pohon si balai-balai
membuatkan buaian,
untuk
anak dan ibu itu
menunggu
papanya datang
membawa paku
dua batang


yassinsalleh
1751 hrs. april 17, 09.
Dalam perjalanan dari pasir dua butir
ke pasir berdengung.

Friday, April 17, 2009

Big Men Waterland

Dia jual surat
khabar lama
dan diapun
belilah magnum
tak kena

Dia jual pakaian
lamanya
beli kuda
tak kena juga.

Dia jual perabot
lamanya
beli toto
pun tak kena juga.

Dia minta tolong
kat kawan-kawan
semuanya tak layan.

Bayi nak susu
Isteri meroyan
Anak besar kat universiti
Anak sedang kat sekolah
Anak kecil kat tadika
Majikan tutup kilang
Dia kena buang.

Api dah kena
potong semalam
esuk lusa airlah pula
nak menanak beras tinggal segenggam.

diTV jiran siaran live
perdana menteri baru angkat sumpah jawatan
tiba-tiba
ketukan di pintu
“Orang welfare nak hulur bantuan!”
agaknya dalam hati.
Di muka pintu
dua anak muda bertali leher,
berseluar jean,
pakai baju belangbelang
menghulurkan buku:
Najib Tun Razak vs Tukang Kacau Malaysia
“Ambillah Pakcik, kami bagi free.”

Esuknya di tepi pagar sekolah,
pakcik Chandran membungkus kacang putihnya
dengan kertas buku yang banyak gambar-gambar
Big Men Waterland.

yassinsalleh
1726 hrs. april 16, 09
tengah masak bubor, anak lapar.

Singgahlah di Warung Saya di Hujung Jembatan

Pemberitahuan:-
Kalau sapa-sapa dari chowkit nak ke pwtc
singgahlah di warung saya dekat ujung jembatan;
ada wifi,
free fon charging
dan free forno surfing.
boleh komen blog
boleh sms ngata orang
boleh tenguk gambar orang-orang terhormat telanjang.

Boleh duduk sembang-sembang
pasang pukat
pasang lukah
pasang tajur
kalau mujur
malam boleh dangdut sampai pagi.

Bila Nampak yang berhormat lalu
boleh ikut tawar khidmat memudah cara
biasanya mereka pemurah
lebih-lebih lagi
yang luas hutan negerinya.
kalau bawa ke jalan alor
bolehlah tompang sekaki.

Haa…?
Kenapa aku buka warung begitu?
Supaya senang dapat overriding komisyen
jual orang beli orang,
tulis blog
tulis buku
semuanya sedang laris sekarang.
hantar smspun boleh dapat upah lumayan
Jangan lupa datanglah sembang-sembang
di warung saya di ujung jembatan.

yassinsalleh
1745 hrs. april 09
jangan mengadu sesak.
lebih baik menipu.

Wednesday, April 15, 2009

Esuk April 709

Salam sejahtera
pada seluruh kerabatku
anak bangsa MALAYSIA,

Warga : Batang Ai,
Bukit Gantang,
Bukit Selambau.

Esuk April 709,
kalian akan mempertaruhkan
hak, maruah dan harga dirimu.

Pilihan kalian
Adalah tempahan nasib
masa depan cucu cicitmu.

Keputusan kalian
Adalah pengakuan kebijaksanaan
atau mengakurkan ketololanmu.

Pilihan kalian
adalah maruah atau rasuah
menerima atau menolak kezaliman,
menjadi kerbau atau lembu
atau jadi beruk makye dungu.

Undi kalian
Adalah nilai darjatmu
selaku rakyat Negara berperlembagaan
selaku rakyat beragama dan bertamadun
selaku rakyat
yang tidak tolol dan bahlol.

Selamat memilih
untuk
memanifestasikannurainimu,
duhai para kerabatku
Anak bangsa Malaysia.

Amal Makruf Nahi
Mungkarkah
atau
membuangkan pakaianmu
untuk dianggap sopan
oleh masyarakat
orang-orang telanjang.

yassinsalleh.
1146 hrs.april 6.09
di bukit selambau
kini,aku sedang
membakar fatamorgana.

Lang Jelali Lang Jelalah

Lang jelali lang jelalah
gulai labu toksahlah
banyak cakap banyak telah
bila tak jadi susahlah.

Saudagar mimpi sudah mengigau
tak jadilah landing kapal terbang
niat hati nak moleh kobau
dah hilang pulak tolopeh kandang.

Lang jelali lang jelalah
burung merbah hinggap di pasir
hukum manusia terjadi sudah
hukum Allah takkan mungkir.

Bila sampai waktunya nanti
hujan pun turun di tengah hari
dan kelamlah bulan dilanda gerhana
badan merasai hidup merana.

Lang jelali lang jelalah
orang jahat toksahlah!

yassinsalleh
april 5, 09, jam 0024
kuala lumpur dalam harum cempaka.

Mari Kita Culik Bulan

Malam ini
Mari kita culik bulan
sorokkan dalam gua
biar kelawar jaga.

Tebusannya
Kita minta tak banyak
sepuluh peratus cukuplah.

Kalau si bantut
taknak bagi kita bagi bulan
kat Tok Guru.

Kat bukit-bukit, kat batang-batang
kat pohon-pohon, tak payah pasang poster
banyak kerja, boleh jadi gaduh.

Tok Guru
lepaskan saja bulan yang satu
bersilang-silanglah pangkah-pangkah
menimbus pasu si pokok bantut
yang kontot dan sontot.

Sesudah itu
Kita kandanglah pula
matahari
kitapun molihlah kobau balar,
jang oi!

yassinsalleh
april 5, 09, jam 1220
dalam kemanjaan anak-anak &
iseri-isteri heh heh heh!

Akhirnya Impian

Angin menderu
dahan jatuh menimpa batu
kuburan
saying disayang.

Kilat bersabung
dentum guruh hujan tak jadi
dendang didendang.

Murai berkicau bersahut-sahutan
langit mendung disaputi awan
malang oh malang.

Angin menderu
hilai tawa gegak gempita
orang yang menang
tinggi dijulang junjung naik
menggapai awan
awangan-awangan.

Angin menderu
jangan jatuhmenimpa batu
kuburan
malang oh malang
rebah mentari terendam bulan
bumi merekah langit tersembam
akhirnya impian.

yassinsalleh
april 4, 09, jam 2123
kuala lumpur

Jika Rindu Tak Datang

Sepi ada dalam
diri
sunyi ada dalam
hati
hampa ada dalam mimpi
titilah pelangi
melimpasi
penjara yang kau kunci sendiri
dendangkan
melodi kecapi merdu
pujuklah hatimu
seloka dalam mimpi
jadikan realiti.

Jika rindu tak
Dating melepaskan dendam
helalah nafasmu,depangkanlah tangan
nanti aku akan berlari datang
merebahkan laraku
di dadamu
dan esok kita pergi mandi sungai
di sana ramai
orang mandi tak berbenang
kerana mereka sedang merayakan
kemenangan.

Kalau kita turut sama telanjang
ada nasib boleh tidur seranjang
ada untung boleh mengisi kantung
ada tuah boleh dikurnia anugerah
aduhai
indahnya alam, ghairahnya malam
nikmatnya hidup telanjang!

yassinsalleh
april 4, 09, jam 0353
dinginnya embun titiwangsa.

Perjalanan Kian Memanjang

Meminta pada yang ada
merajuk pada yang sayang
bermanja pada yang kasih.

Betapalah ya rupanya
kita telah meminta
pada yang tak punya
tiadalah ia perasaan
tiadalah ia bijaksana
tiadalah ia pengertian
tiadalah ia kemanusiaan.

Makanya,
apa yang nak dirajukkan
tiada sayang di hatinya
tiada kemanjaan membelai
luka kalbu yang luluh
kerana tiada kasih di hatinya.

Yang meminta
buanglah tempurungmu
yang merajuk
minumlah racunmu
yang minta bermanja
bentanglah bara sahara
sesaujananya
dalam perjalanan
yang kian memanjang ini
kita minumlah duri kaktus
dan kita bakar fatamorgana.

Araklah mimpi
kerana mimpi menjanjikan harapan
kerana cumalah mimpi yang ada lagi
untuk dihitung!

yassinsalleh
april 3, 09, jam 1111
perjalanan kian memanjang.

Yang Ada Padaku

Yang ada padaku
hanya sajak,
aku takde duit
harta lagilah pulaknya,
takde gelaran juga
nak beli macam mana.
Jadi, sms sajak sajalah
Yang aku termampu
itupun tak boleh
hantar ramai-ramai
kredit topup dah nak abis
tapi untunglah,
aku tak ramai kawan
tak macam dulu-dulu
makanya,
penyair tak ramai kawan
jangan mengadu sesak pada
orang-orang,
tuliskan sajalah akan
kebangsatannya tamaddun pengkelasan
orang-orang via ringgitMalaysia
via ketinggian kuasa
yang naik tak bertangga
jika terjun gaungnya tak berdasar.

demikianlah hidup
mengajarkan erti persahabatan
menurut ukuran metrik.

yassinsalleh
april 1, 09, jam 2310
kilat sabung menyabung.

Memang Sahaja Begitu Adanya.

Setakat ini belum ada
berita baik untuk disiarkan
malah, kalau adapun
nak siarkan kat mana
semua surat khabar dah tutup
sebab tak laku.
yang laku telah lama
diharamkan,
kerana menyiarkan ia kebenaran
diharamkan,
kerana tidak menyiarkan ia fitnah
diharamkan,
kerana menyiarkan ia
gambar pokok balairongseri rakyat
diharamkan,
kerana diguna naskhahnya ia
oleh rakyat melindungi mata
bila ditembak gas dan pancutan
air asid gatal
diharamkan,
kerana bila membacanya
yang buta boleh melihat
yang tuli boleh mendengar
yang bisu boleh berkata-kata.

makanya, hari ini
tiada berita baik untuk disiar
dan disibar
kerana ahkbar wsemuanya dah tak laku
yang laku pula dah lama haram.

memang sahaja begitu adanya
encik-encik dantuan-tuan.

yassinsalleh
april 1, 09, jam 2047
ditiupan bayu rindu.

Pun Tanpa Sepatu

Keemasan atau pelangi
hiasan pesta warna warni
melonjak kaduk di junjungan
bertandak riak keangkuhan.

aku tak akanberhenti
melintasi bara pasir
pun duri kaktus minumanku.

Apakah sekadar nak dapat
bersama Qarun
mandi telanjang
di sungai
dan nak dapat
bersantai meraikan nafsu
meniduri ibu
kita rela dan bahagia
jadi kerbau jadi lembu?

sahara, bakarlah terus
pasir dan kerikilmu,
pun tanpa sepatu
aku takkan berhenti
meniti baramu.

yassinsalleh
april 1. 2009, jam 1301
sedang minum duri kaktus aku.

Imbauan Ikan-Ikan di kaca

-buat saudaraku
dato’ yazid othman


Ikan-ikan di kaca indah alamnya
indah alamnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca gemulai lenggangnya
gemulai lenggangnya ikan-ikan di kaca.

Ikan-ikan di kaca manja hidupnya
manja hidupnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca, ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

terpenjara sebenarnya ikan-ikan di kaca
demikian aku terilham dari wajah bangsaku
dari jiwa orang Melayu dalam segala kealpaannya
Iya, ikan-ikan di kaca kau lahir sebagai perbantahan
hati seorang remaja yang cuba belajar
menjadi dewasa ketika bangsanya
terlonta-lonta mencari pengertian
apa dan siapakah mereka
di bumi keramat tanah airnya sendiri.

dan kini bukan lagi
kau keli dan puyu
tapi kelisa dan flowerhorns
aduhai ikan-ikan di kaca?

yassinsalleh
februari 12. 2009, jam 1604
kuala lumpur

Gemulai Lenggangnya

Gemulai lenggangnya
dara sunti meniti permatang
halus anyamannya
tempuan menjalin sarang
syahdu melodinya
seruling batang padi
si anak bujang
aduhai alamku tanahMELAYU.

Jernihnya air bukit
mengairkan sawah
haruan dan puyu bermain buih
unggas berlagu di buaian bayu
putihnya awan di langit biru
dan kitaMELAYU
bulat dek pembetung
adat dikelek, resam dijunjung.

Yang kurik kendi
yang baik budi
tercubit paha di kiri
yang dikanan terasa jua sakitnya
hati gajah sama dilapah
hati kuman sama dicicah
demikianlah kitaMELAYU
menjunjung tamaddun peradaban
satubangsa yang perkasa
memuliakan kesantunan
kemurnian adab kemuliaan hemah,
aduhai!

Dan hari ini
tamaddun akalMELAYU
bersimpuh di berhala:
Kuasa, agamanya.
Kekayaan, imannya.
Permukahan, tiangnya.
Pembohongan, wuduknya.
Pembunuhan, halalnya.

Akan menjadi keratonkah istana?
Allahhuakbar…

yassinsalleh
februari 5. 2009.
lata kinjang, cenderiang,
tapah, perak.

Nyanyi Serindit Lidahnya Luka

Serindit di dahan meranti
lidahnya luka
kicaunya hilang lagu.

Merbah di pucuk mengkudu
paruhnya terkancing
suaranya hilang nyaring.

Tiba-tiba hijau daun-daun
bertukar perang, dan
air terjun menerjahkan lumpur.

Di permatang sawah
anak digital-games kepatahan lidah
mereka tak pandai lagi menghitung jari.

Di puncak bicara
lidah nusa diiris-iris
di puncak alpa
jiwa bangsa disenda-senda
di gurun algojo
lingua franca utama dunia
terpenggal.

Apalagi yang tinggal padamu
duhai Melayu
tanahairmu sudah
cuma papan catur
di mana kedaulatan bangsamu
ditawar-menawar
dan lidahmu bertukar
separuh belut separuh ular
membacakan talqin
mamakamkan bahasamu MELAYU.

Begitulah kau di demikiankan
oleh para pemimpinmu
duhai Melayu!

yassinsalleh
februari 3. 2009, jam 1800.
lebuhraya menuju ke selatan.

Silamat Hali Laya

Raya Cina sudah mali
Balik kampung banyak happy
Panggil member cali kaki
Mali rumah saya
Tikus pigi XO mali
Sui pigi ong mali
Tahun lepas sudah pigi
Tahun ini mesti happy.

Kena magnum kena loteri
Dalam bank banyak money
Badan sihat tiap hari
Always senyum tak ada lugi.

Senyum tak berlenti tikus pigi
and family semua happy

(Teks sms ucap selamat hari raya cina
yang diterima yassinsalleh)
Januari 27. 2009.

Stadium Bukit Jalil

Syahdan tersebutlah
kisah di suatu ketika
betapa merimpahruahannya
Stadium Bukit Jalil
dibanjiri ratusan ribu
apa yang dikatakan
para penentang perang
terpekik terlolong mengutuk
Amerika Bush yang melancarkan
perang terhadap Iraq Saddam.

Dan berhiburlah
mereka seisi stadium
dengan dendangan Siti Nurhaliza
dan sesudah itu seluruhnya
menyepi & bisu
bagaikan sunyinya
Stadium Bukit Jalil yang kosong
Makanya,
Saddam sendirian bersembunyi
di dalam lubang cacing.

Arakian kini,
saban hari saban ketika
berbondong-bondonglah
gerombolan peniup nafiri
melaungkan simpati
terhadap wargaGAZA
bergelimpangan mati
dalam temasya Zionis
mengucapkan selamat pergi
kepada Bush dan meghamparkan
permaidani yang diwarnai
darah kanak-kanakGAZA
menyambut ketibaan Barrack Obama.

Bagaikan gema
Kuala Terengganukah pula
kali ini sorak sorai itu
terhenti bagaikan
lumba TENGKUJUH
yang kematian angin!

yassinsalleh
20 jan 09, jam 22:39
upm, selangor.

Siksa sungguh rindu!

Kadang-kadang kita singgah
mandi air terjun
sambil mendengar serindit
berkicauan
dan mentari turun
menyulam pelangi
indah sungguh bercinta.

Kadang-kadang kita singgah
menghitung manik embun
sambil bintang-bintang menari
dan bulan membelai
tubuh kita tak berbenang
nikmat sungguh berkasih.

Kadang-kadang pula
kita terdampar di gurun sengsara
kita berdakapan
di ranjang kerikil
dan bara pasir
menghampar pilu yang amat
saujana
duri kaktus pembalut luka
tabah sungguh merempuh dugaan.

Tiba-tiba kini tidak lagi
meniti pelangi
kerana kau tak mahu lagi
menatang mimpi
dan aku tak pandai
menjanjikan fatamorgana
siksa sungguh rindu!

yassinsalleh
dis 19, 08, jam 1430

Dipilin Nestapa

Telah datang dari rindu
selembar harapan pilu
memilin kalbu memintal sayu
suatu bangsa bercanda
di lantai janji semalam
yang cuma sekadar
soraksorai seloka duka
fatamorgana bercanda….

Makanya akan teruskah jua
engkau menghirup bara
sambil menghairahi berahi
di ranjang Hang Li Po
mengulit bahara
sambil dengan lidahmu
yang kelu kau masih jua
amat bernafsu melaungkan
ketuananmu –
sedang tanganmu
tidak lagi menggenggam bara!

Dan keris itu tak lagi
berani kau kucup
kerana Melayu
telah menjadi badut
dalam seloka tersembam
di celah paha perbarisan
perawan tua.

Berhentilah
kau berkata-kata
duhai sida-sida perkasa
kerana Melayu bangsa kita
sudah cukup azab
menatang nestapa
menanggung aib
kedayusanmu!

yassinsalleh
dis 12. 08, Jam 0520

Di Pucuk Tualang

Kini
sedang memilin embun
untuk menggantung
nakhoda mata satu
di pucuk tualang.

-yassinsalleh
dis 12. 08

Bulan Membariskan

Malam ini bulan
membariskan bintang-bintang
bagaikan nakhoda tempang
cuba membariskan pelautnya
di pucuk gelombang
dan esok mentari pula
akan membariskan pelangi
bagaikan bendahara
membariskan perawan tua
bertelanjang di anjung istana.

Lalu akan berebutanlah
para sida-sida perkasa
menagih mimpi menerpa janji
syahwat yang dikasi raja,
demikianlah adanya
kau yang bernama Melayu
hanyalah sekadar lembu-lembuKASI
yang amat setia berbaris
menunggu janji menanti mimpi
sementara para dewa
bermukah di mimbar biara.

yassinsalleh
dis 12. 08, jam 1821.

Di Pucuk Sepi

Dan siapa memegang belati
menancap jantung menusuk kalbu
yang kian terpilin nestapanya
di hujung segara barisan pelaut
menjunjung kesida-sidaan nakhoda
yang cuba memintas sejarah esok
melimpasi nostalgia tak bertepi
tragedi kealpaan satu bangsa
yang baru sedang belajar
menjadi tuan
satu bangsa yang sedang mengejar
ekornya sendiri!

yassinsalleh
Nov 25, 08; jam 1523.
kajang, selangor

Di Hujung Mimpi

Pun sedemikian bahtera terakhir ini
patahlah sudah tiang layarnya
dan pelaut tua itupun
tidak lagi mengutip angin
membilang bintang di pucuk ombak
bagaikan fatamorgana kasihnya
terdampar di hujung armada.

yassinsalleh
Nov 25, 08; jam 1414
kajang, selangor

Di Hujung Muara

Malam ini mari kita bariskan
gelas anggur di meja
dan pastikan kita tidak duduk
dengan penkid – itu haram
dan pastikan kita tidak dalam mabuk
duduk beryoga – itu haram
sekian diingatkan,
- sempurna sudah aku
menjalankan tanggungjawab
amal makruf nahi mungkar.

Ayuh teman
mari kita bariskan lagi
gelas demi gelas anggur di meja
sepuas-puasnya
kerana kita akan menikmati
keghairahan malam ini
dengan berkongsi meniduri
perawan tua bersama ibunya
yang sedang amat dahaga
akan sumbangsih kita.

yassinsalleh
Nov 19, 08, jam 1945
kajang, selangor

Alahai Sayang

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
semua kita kena berjaga
jangan nanti hilang spender
curi dek penyedap
Shah Rukh Khan
alahai sayang!

yassinsalleh
oktober 14, 2008
kajang, selangor

Buai Laju-Laju.

Buai laju-laju
sampai hari petang
orang ramai lalu
mat dol tinggal sorang.
Buai laju-laju
sampai hujung julai
semah jadi batu
sumpah dek sang kelembai.
Buai laju-laju
sampai hari malam
Ku Li kena tipu
cita-cita jadi pekasam.
Buai laju-laju
sampai hujung sana
UMNO tetap gitu
tak kira dosa pahala.
Buai laju-laju
sampai tepi sudut
Anwar jadi badut
janji kena kentut.
Buai laju-laju
sampai waktu makan
apa nak jadi orang Melayu
ramai-ramai buang pakaian.
Buai laju-laju
sampai kokok ayam
Melayu dah telanjang
orgy siang malam.
Buai laju-laju
sampai tepi surau
kenapa jadi gitu
kena tanya kat bangau.
Bangau oh bangau
kenapa jadi gitu?
macam mana tak jadi gitu
Melayu takde batu.
Batu oh batu
kenapa takde batu
macam mana nak ada batu
Melayu jual maruah.

Melayu oh Melayu
kenapa jual maruah
macam mana tak jual maruah
boleh cepat kaya.

Kaya oh kaya
macam mana nak cepat kaya
senang saja nak cepat kaya
sokonglah agenda heh heh heh!

yassinsalleh
oktober 13, 2008
kajang, selangor

Mendayu Si Luncai

Diperingatkan
pada kamu semua
wahai kaum wanita:
Jangan pandang Si Luncai terjun
telanjang
- spendar dah dicuri dek ikanYEW
pakai mandi kat Batu Putih
jauh di mataku tahu
dekat di hatiku tahu!

mana lagikan ku harap janjimu
mana lagikan ku pinta
apa lagikan ku harap darimu
jangan harap kau datang lagi padamu
jangan harap
ku kan kembali denganmu.

(Kesiannya Si Luncai mendayu
sayu sebelum terjun tanpa labu
yang dah hilang & spendar
yang dah dicuri ikanYEW!)

yassinsalleh
September 12, 2008
kuala lumpur

Luncai

bangau oh bangau
kenapa jadi gitu
- macam mana tak jadi gitu
sebab kita gitu.

Bangau oh bangau
kenapa kita gitu
macam mana kita tak gitu
sebab takde batu.

Bangau oh bangau
kenapa takde batu
macam mana nak ada batu
Luncai dah hilang labu.

Luncai oh Luncai
ke mana hilangnya labu
mat dol dah curi
beri kat menantu.

Luncai oh Luncai
macam mana engkau nak terjun
nanti aku terjun
bogel togel aje!

Luncai oh Luncai
kenapa tak pakai spendar
- spendar aku dah hilang
ikanYEW curi.

IkanYEW oh ikanYEW
kenapa curi spendar
aku nak pakai mandi
kat Batu Putih.

Heh he he, kah kah kah
What a wonderful world!

yassinsalleh
September 12, 2008
Kuala Lumpur

Dalam Jihad Kami Memohon

Betapalah, ya
alam seindah ini
diranjaukan setiap denai
dengan pecahan kaca
dari botol-botol anggur
yang terpacak di antara rekahan paha
perempuan
yang digelimpangkan
selepas setiap pesta lelong Belanda
para pemburu khazanah qarun
menjual ibu mereka
di ranjang erotika bangsa.

Maka kita anak-anak
satu keturunan yang tersula di mata,
yang tertusuk di dada
terus jua merentas malam bulan terendam,
tetap jua melintas mentari rebah pagi.

Dan apapun jua tanggungan
nestapa yang dipaksakan
ke atas kita lantaran khianatnya
para nakhoda pimpinan
armada bahtera bangsa
yang telah mengosongkan padi di kepuk,
yang telah mengeringkan air di telaga
dan lari mencari damai abadi
entah di mana!

Dengan ini kami bersumpah
demi pertiwiku Tanah Melayu
demi bangsaku bernama Melayu,
demi kesucian Islam agamaku
akan kami rungkai kekalutan sejarah
akan kami tegakkan tamaddun ilmu,
akan kami keramatkan tamaddun peradaban
akan kami mertabatkan keagungan iman.

Dalam jihad kami memohon
keredhaan Illahi,
agar
tidak akan lagi berulang
pagar memakan padi
haruan memakan anak
dalam kepimpinan bangsaku MELAYU!

yassinsalleh
September 4, 2008
kajang, selangor.

Cik Ke Cik Ke Boom

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom!
timang-timang anakku sayang
lekas besar rajin belajar
jadi orang berguna.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
ingat-ingat anakku sayang
bila besar jangan menjadi
pembeli kapal selam
nanti karam tenggelam.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
sudah besar jangan khianat
nanti terkena laknat.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
jangan main keris dan sumpah
nanti senjata memakan tuan
azabnya termakan sumpah.

Cik ke cik ke boom
cik ke cik ke boom
timang-timang anakku sayang
pagar jangan memakan padi
jual bangsa dan negeri.

yassinsalleh
September, 3 2008.

Tinggi Gunung Seribu Janji

Tinggi gunung seribu janji
Si Luncai pun menghampar mimpi
Biarkan! Biarkan!
Bacul dituding Queen Control
Biarkan! Biarkan!
Si Bodo melelong negeri
Biarkan! Biarkan!
Boring!
Aku nak tidurlah
Biarkan! Biarkan!
He he he! Kah kah kah!

yassinsalleh
2 September 2008
Kajang, Selangor.

Dalam Masyarakat Telanjang

Apa lagilah yang tinggal
bagi suatu bangsa
yang kehilangan semalamnya?

Keris di pinggang
tak lagi diasap harum kemenyan
tak lagi diusap limau langiran
dan, setiap kali terhunus
setiap itu pula ia kembali
tersarung
tanpa menikam apa-apa!

Makanya,
di manakah lagi akan tercari
erti semangat besi kursani,
erti keramat daulat pertiwi
erti keperwiraan gagah berani
suatu bangsa bernama Melayu
yang asyik menyanyikan lagu Si Luncai
yang lemas di tasik kedayusan abadi.

Duhai Melayu,
apakah keris lambang kepahlawananmu
kini cuma sekadar alat
persendaan para sida-sida
di pentas erotika bangsa,
di mana berkumpul sang bacul
memuja si khianat bertakhta
di mana si bangang dan si tolol
bertemasya
merayakan ketuanan mereka
sebagai rakyat tolol
yang tanahairnya kian dogol
dan mandul!

Duhai Melayu
apabila suatu bangsa
sudah tidak dapat lagi membezakan
antara kebenaran dan kepalsuan
makanya,
bangsa itu sudah mula
membuangkan pakaian di tubuh
kerana di dalam masyarakat orang telanjang
yang berpakaian dianggap biadap
dan tidak sopan.

Syabas saudaraku Anwar Ibrahim
kau masih menjadi wira
yang tidak membuang pakaianmu
dan obor perjuangan masih jua tetap
benderang di tangamu!
semoga selamatlah engkau
dalam lindungan Allah SWT

yassinsalleh
Ogos 17, 2008
Permatang Pauh

Bagaikan Hujan

Bagaikan hujan yang turun ini
pernah airmataku
bercucuran mengiringi
kepedihan lara pilu piatu
pernah dalam hujan beginilah
ku heret kakiku lemah longlai
membawa
hatiku yang lara
sembunyikan airmata.

Dengan mesra jari hujan
menyisir rapi rambutku
bagaikan halus jarimu yang membelaiku
lalu dalam hujan petang ini
kembali ku kunjung harga diri
apalah yang sedang ku cari
rebah di hujung pelangi!

yassinsalleh
Julai 11, 2008, Jam 1705
tualang sekah, malim nawar, perak.

Malam Ini Gunung Ledang Rebah

Malam ini
Gunung Ledang rebah dibenam
embun duka
lalu puterinya bagaikan
tertawa berkata,
“Pun aku cuma
separuh cantiknya dia
malam ini aku mengadukan nestapamu
padaku.
Dan aku akan ke mana mengulit
sengasara”

Duhai intanku tersayang
kalau benarlah kau sayang padaku
berilah aku secangkir racun
untukku minum.

yassinsalleh
Jam 0534, 19 April 08
Dusun Damai, Pagoh, Johor.

Engkaukah Itu Fatamorgana!

Kalaulah langit biru
hiasan bulan malam ini
tiba-tiba mencurahkan hujan
itu adalah rembasan airmata
seorang fakir kasih
yang tersula matanya
dan darah yang mencurah
menyiram nestapa semalam
kembali segar meraikan
permakamanku!

Tak mengapalah,
pun jernih dingin tebat ini
airnya akan kembali menjadi
bara pasir hamparan tidurku
akan ku dakap semula
seloka nestapa
dan serelanya akan ku minum
cangkir demi cangkir
duri kaktus
kerana sudah demikian
takdir menentukan
persendaanKASIH.

yassinsalleh
Jam 0152, April 19, 2008
Dusun Damai, Pagoh Johor.

Gurindam Bangau Oh Bangau

Bangau oh bangau
kenapa BN kalah
macam mana BN tak kalah
rakyat dah menyampah.

Rakyat oh rakyat
kenapa dah menyampah
macam mana tak menyampah
banyak sangat rasuah.

Rakyat oh rakyat
siapa banyak rasuah
bermula dengan dol-lah
sampai sami bulu.

Rakyat oh rakyat
siapa lagi rasuah
Perlis sampai Sabah
semua MB & KM punggah.

Rakyat oh rakyat
macam mana kalau tak rasuah
kalau tak ambil rasuah
nanti heh heh heh marah!

yassinsalleh
Mac 2008
Bandar Tun Hussein Onn, Kajang.

Daulat Tuanku

[buat putraku Yasleh Khaliff Amri]

sekian ini lamanya engkau Melayu
menjadi kelasi armada yang kian karam
kerana seekor demi seekor nakhodamu
masih juga tetap menganyam pelangi
memintal mimpi lautan ilusi
menjelmakan fatamorgana
sebagai realiti harapan
di mana engkau terpesona mengakui
bahawa engkau bukanlah hanya sekadar berseloka
dalam simfoni pelangi mimpi nyanyian ilusi
senandung kalbu melarik duka meraut malang
menguliti mega nestapa angan-anganmu
merentasi segara syahdu kealpaanmu

mana mungkin bersatu
nestapamu dan syahduku
ya Melayu,
kerana engkau masih jua percaya
bahawa menara ketuananmu yang abadi perkasa
masih jua mungkin terbina di atas tapak anyaman mimpi

kerana demikianlah yang kau mahu
maka akan demikianlah seterusnya engkau Melayu

makanya
pun aku terpaksa sendirian
menimba bara meniti duri
demi PanggilanPERTIWI
akan ku tiupkan nafiri
yang bergema dari benua ke benua
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

yassinsalleh
31 Ogos 2007
Taman Saujana Impian, Kajang.

Gurindam Poksu

(i)
Sekian ini lamanya sudah
kau melayu
menimba bara dalam perlumbaan
memburu mimpi
meniti pelangi angan-angan
dengan memenggal kesantunan peradaban
warisan keramat zaman berzaman.

Sekian ini lamanya sudah
kau Melayu
menarah bukit bukau
meratakan gunung ganang
menara khazanah bumimu
pesaka keramat anugerah tuhanmu
yang diamanahkan kesejahterannya
dalam jagaanmu.

(ii)
Sekian ini lamanya sudah
engkau sendirian
meredah belantara kealpaan bangsamu
tidurmu bertilamkan onak
mimpi bertatahkan duri
jagamu mencari muara
kelangsaian rimba sejarah tanahairmu
yang menuntut pemetaan hakiki
kembaramu menjunjung jihad
mencari nur-hidayah.

Semoga tersuluh keluar
bangsamu yang kian terpilin
dalam simpang siur kesesatan
di mana agamamu dibungkus
bagaikan barang dagangan
berpelekat label-label teknologi kreatif
para haiwan politik.

Maestro-maestro buluh perindu
mendodoikan bangsamu dengan simfoni
ayam menang kampung tergadai
dan bangsamu
rakyat jelata yang melarat melata
menyambut dengan chorus si Luncai
“biarkan, biarkan!”

(iii)
Poksuleh
tahulah kau duhai anak Labok keramat
kini kau tidak lagi tersendiri menghirup duri
kini kau tidak lagi dimengerti
selagi sungainya tanah tumpah darah kelahiranmu
tetap terus mengalir ke utara
selagi itulah satu demi satu
demi satu demi satu
tanpa henti
kami akan mengerumunimu
menjadi armada
bersama kita merentas segara
membelah benua
demi mengembalikan
mertabat bangsa kita
yang kini bukan cuma
sekadar itik kehausan di air
ayam kelaparan di kepuk
malah sebenarnya
adalah lebih hina
dan tak bermaya
dari sekandang abdi yang buta
bisu dan tuli.


yassinsalleh
Awal Ogos 2007.
Teratak Wan Fatul
Kampung Mempatih
Lancang, Pahang.

Bangau Oh Bangau 2

Bangau oh bangau
kenapa orang tak balas SMS
macam mana orang nak balas
takut kena ISA.

ISA oh ISA
kenapa orang takut
macam mana orang tak takut
spendar semua dah basah.

Spendar oh spendar
kenapa engkau basah
macam mana aku tak basah
sebab orang becer.

Becer oh becer
kenapa engkau becer
macam mana aku tak becer
takut unta berak.

Unta oh unta
kenapa engkau berak
macam mana aku tak berak
Anwar nak perintah.

Anwar oh Anwar
kenapa kau nak perintah
macam mana tak nak perintah
rakyat tak nak dia dah.

Rakyat oh rakyat
kenapa tak nak dia dah
macam mana kita nak lagi
sang kelembai dah peluk dia.

Kelembai oh kelembai
kenapa peluk dia
macam mana tak peluk dia
nanti aku kena macam Petra.

Petra oh Petra
kenapa engkau kena
macam mana aku tak kena
dia dah terkencing.

Kencing oh kencing
kenapa engkau terkencing
macam mana tak terkencing
rakyat sudah bising

Rakyat oh rakyat
kenapa buat bising
macam mana kami tak bising
Anwar dah asah taring.

Taring oh taring
kenapa suara aje nyaring
macam mana suara aje nyaring
aku pun terkencing.

Kencing oh kencing
kenapa Anwar kencing
macam mana Anwar tak terkencing
cakap tak serupa bikin!

yassinsalleh
16 September 2006
Kajang, Selangor.